Ahad, September 07, 2008

Nilai Sumpah Saiful

Sudah begitu lama mummy mahu menulis berkaitan isu sumpah-sumpah yang dikecoh-kecohkan. Namun kerana kekangan masa, niat suci mummy sentiasa tertangguh sehinggalah hari ini.

Mummy bukanlah penyokong mana-mana pihak, baik si Saiful mahupun DSAI. Namun sebagai seorang pengamal undang-undang, mummy lebih suka melihat dan mengulas isu ini dari perspektif undang-undang.

Ramai yang telah menjadi hakim menjatuhkan hukum siapa yang bersalah berdasarkan sumpah yang dibuat Saiful pada 15hb Ogos 2008. Keberanian Saiful mengucapkan sumpah laknat di dalam masjid sambil memegang Al-Quran begitu meninggalkan kesan. Mummy sendiri begitu kagum dengan keberaniannya. Dan hampir percaya dengan keikhlasannya. Namun beberapa ketika mummy kembali ke dunia nyata. Dan akhirnya tersedar dari sumpahan sementara. Dan mummy kembali percaya, sumpah itu mungkin tiada apa-apa dan mampu menjadi satu fitnah yang nyata.

Mummy bukan ahli dalam bidang agama jadi mummy biarkan yang ahli saja mengulas isu ini dari sudut agama supaya ia tidak menjadi fitnah kepada agama suci kita, Islam.

Antara DSAI dan Saiful, salah seorangnya adalah penipu yang maha munafik. Siapa antara mereka, buat masa ini hanya Allah swt sahaja yang Maha Mengetahui. Sehingga hari ini Saiful masih belum berjaya membuktikan kesnya. Saiful hanya membuat tuduhan sahaja. Bukti pun belum dipersembahkan lagi. Mengapa? Kerana kes ini belum dibicarakan. Jadi apa hak kita untuk menentukan siapa yang benar dan siapa yang salah antara mereka. Apa hak kita untuk menghukum siapa pembuat fitnah dan siapa peliwat antara mereka. Kita tidak berhak!!! Oleh itu lebih baik kita jangan menambah fitnah pula tak kiralah sama ada kepada Saiful mahupun DSAI.

Saiful sebagai orang yang membuat tuduhan perlu membuktikan kesnya terhadap DSAI. Dan ia perlu dibuktikan secara 'beyond reasonable doubt'. Sekiranya DSAI mampu menunjukkan keraguan dalam kes Saiful, maka Saiful gagal membutikan DSAI bersalah. Beban pembuktian kini di bahu orang yang membuat tuduhan, Saiful! Sebenarnya jika kita teliti betul-betul tidak jauh bezanya antara undang-undang Islam mahupun undang-undang sivil. Dalam kes jenayah seperti ini, beban pembuktian adalah terletak pada pihak yang mendakwa. Dan untuk mendakwa seseorang bukanlah sesuatu yang mudah jika tidak disokong dengan bukti-bukti yang kukuh bagi memastikan keadilan benar-benar ditegakkan. Mungkin ada yang beranggapan, tidak adil seseorang penjenayah terlepas hanya kerana kekurangan bukti sedangkan memang dia yang melakukan jenayah tersebut. Tetapi bagi mummy, lebih baik kita melepaskan sepuluh orang penjenayah daripada menghukum seorang yang tidak bersalah. Oleh yang demikian, bagi memastikan keadilan benar-benar ditegakkan, pihak-pihak berkenaan yang bertanggungjawab seperti polis (yang membuat siasatan), pendakwaraya, mahkamah dan yang berkaitan perlu melaksanakan tugas mereka dengan cermat dan bukan secara sambil lewa sepertimana pertuduhan yang dibuat ke atas DSAI baru-baru ini. Mummy sendiri pun hairan, mengapa pihak pendakwa memilih untuk mendakwa DSAI dengan pertuduhan tersebut. Adakah mereka begitu terburu-buru mahu mendakwa DSAI hingga terlepas pandang atau mungkin pertuduhannya memang begitu... suka sama suka??? Hanya mereka yang tahu. Dan Allah swt Maha Mengetahui!!!

Sekiranya Saiful mempunyai bukti-bukti yang kukuh, apalah yang perlu digusarkan. Kebenaran pasti akan berpihak pada anda jika anda benar-benar berpegang pada KEBENARAN. Cuma yang mummy gusarkan, jika Saiful tega bersumpah dan tiba-tiba ditimpa laknat, mohon dijauhkan Allah swt laknatnya kepada kita semua.

Mummy tetap bertegas bahawa sumpah Saiful telah menjadi satu fitnah kepada agama suci kita, Islam. Sumpah tersebut seolah-olah menolak keperluan kes tersebut dibicarakan mengikut lunas undang-undang yang sah. Sehingga ada rakan-rakan kita dari bangsa lain yang berkata, kalau setakat bersumpah sudah boleh menentukan betul salah seseorang itu, baik tutup saja semua mahkamah di Malaysia ini. Bukankah itu menjadi fitnah kepada agama kita. Islam tidak begitu. Islam agama yang adil. Islam agama yang bertamadun. Islam agama yang mempunyai sistem. Islam itu syumul!!!

Mummy percaya jika DSAI benar-benar seorang peliwat, apalah sangat yang hendak ditakutkan dengan bersumpah laknat. Meliwat pun tetap dilaknat Allah swt. Kekejian dosanya sama sahaja. Dan jika Saiful tega memfintah DSAI, mummy tak hairan jika dia juga tega bersumpah laknat. Pada mummy sumpah Saiful BELUM membuktikan apa-apa. Orang sanggup membunuh demi kepentingan diri atau untuk menutup satu dosa. Inikan pula sekadar bersumpah untuk habuan sendiri atau menyelamatkan diri.

Keberanian Saiful bersumpah laknat TIDAK membuktikan dia di pihak yang benar. Keengganan DSAI bersumpah laknat TIDAK membuktikan dia bersalah. Buat masa ini hanya mereka dan Allah swt sahaja yang tahu kebenarannya. Oleh yang demikian jangan pula kita mendakwa kita memiliki sifat MAHA MENGETAHUI dengan menjatuhkan hukum ketika ini.

2 ulasan:

azlishukri berkata...

salam singgah. Mummy, jikalah DSI didapati bersalah di mahkamah, adakah Mummy akan mempercayai sumpah Saiful? atau mummy juga akan berkata ia masih sebuah skrip lama?

mummybosan berkata...

Salam kembali Azli. Mummy bukan memperjuangkan DSAI. Dan mummy juga bukan musuh Saiful dan UMNO. Mummy melihat segala yang berlaku sejak 10 tahun dulu dari sudut undang2 sahaja. Terlalu banyak lompang dalam pendakwaan ke atas DSAI. Mengapa ini berlaku? Adakah kerana mereka yang bekerja tidak buat kerja atau memang benar DSAI di pihak yang benar?

Jika mereka yang bertanggungkawab ini benar2 melaksanakan tugas mereka secara komited dan telus, bagaimana DSAI boleh terlepas selepas enam tahun? Sia2 sahaja perbicaraan yang ditanggung dengan duit pembayar cukai di Malaysia. Pendakwaan bukan diketuai oleh pendakwaraya yang baru setahun jagung keluar dari universiti tetapi di kalangan mereka yang berpengalaman. Mengapa ada bukti2 yang disembunyikan dan enggan didedahkan? Mengapa ada saksi2 yang lebih suka bercakap di luar yang dia tahu segala-galanya tetapi enggan hadir ke mahkamah berjihad menerangkan kebenaran? Mengapa semua ini berlaku? Kalau berani berdepanlah secara anak jantan. Dan mummy juga nak tahu mengapa skandal klip video Linggam boleh berlaku?

Antara DSAI dan Saiful, kedua2nya mummy belum percaya. Bawa mereka ke mahkamah. Bicarakan secara telus, keputusannya akan diterima. Namun KEBENARAN TETAP MILIK YANG MAHA MENGETAHUI.