Jumaat, September 26, 2008

Duit Raya Sekupang, Inflasi Naik 8.5%.

Abdul Aziz Mustafa
Wed Sep 24, 08 9:10:09 pm MYT
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Hrkh)

Walaupun kerajaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan penurunan sebanyak 10 sen lagi harga minyak berkuatkuasa esok tetapi kesan dari tindakannya menaikkan harga petrol sebanyak 78 sen dan diesel sebanyak RM1 pada 4 Jun lalu mengakibatkan cengkaman inflasi semakin ganas memangsakan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah.

Dianggap sebagai "hadiah" kerajaan Abdullah kepada rakyat oleh Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar, Malaysiakini melaporkan angka rasmi yang dikeluarkan hari ini, kadar inflasi telah melonjak ke paras 8.5 peratus pada bulan Ogos, yang tertinggi dalam tempoh 27 tahun - ekoran peningkatan harga makanan dan bahan api.

"Tidak ada jaminan inflasi akan berkurangan walaupun harga minyak diturunkan 10 sen lagi kerana harga barangan tetap tinggi.

"Sebagai contoh mudah, adakah esok harga minyak turun 10 sen, lusa adakah harga makanan di pasar-pasar Ramadhan akan turun?

"Apa pun, terima kasihlah kerajaan Pak Lah bagi duit raya sekupang kepada rakyat," kata Mahfuz dengan sinis.

Ahli ekonomi dari Kenanga Investment Bank, Wan Suhaimi Saidi, menyifatkan kadar inflasi 8.5 peratus itu lebih tinggi daripada yang dijangkakan, tetapi Bank Negara tidak akan menaikkan kadar faedah untuk memastikan pertumbuhan.

"Ianya tinggi sedikit daripada jangkaan saya. Saya jangka 8.4 peratus. Saya tidak fikir kerajaan akan menaikkan kadar faedah penting. Ia akan dikekalkan pada kadar 3.50 peratus sehingga akhir tahun untuk menyokong pertumbuhan," katanya kepada AFP.

Jabatan Perangkaan telah menyemak semula dengan menurunkan angka inflasi bagi bulan Julai kepada 8.3 peratus. Ia sebelum ini meletakkan kadarnya pada 8.5 peratus.

Menurutnya, kos makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 11.7 peratus dalam bulan Ogos, berbanding dengan setahun yang lalu. Kadar inflasi yang tinggi sudahpun menjejaskan pengguna dan mendorong ramai rakyat Malaysia mengurangkan perbelanjaan mereka bagi makanan.

"Peningkatan (kadar inflasi bagi bulan Ogos) ditunjukkan dalam kumpulan-kumpulan terpilih utama, iaitu makanan dan minuman bukan alkohol," katanya dalam satu kenyataan.

Data bulan Ogos menunjukkan peningkatan harga bagi kebanyakan kategori, termasuk pengangkutan yang melonjak 21.8 peratus, dan restoran dan hotel yang meningkat 6.5 peratus.

Kerajaan telah menaikkan harga minyak sebanyak 41 peratus dalam bulan Jun, sebagai langkah untuk mengurangkan peningkatan kos subsidi, tetapi telah membayangkan bahawa kadar harga boleh diturunkan tidak lama lagi.

Inflasi Kekal Tinggi

Selepas mengumumkan Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi bulan Ogos, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, beliau tidak menjangka CPI bagi bulan September akan lebih rendah.

"Walaupun, kesan sepenuhnya pengurangan harga petrol dalam bulan Ogos dan sekarang belum diambilkira sepenuhnya, CPI bagi bulan September mungkin tidak lebih rendah.

"Harga petrol yang rendah dijangka dijangka akan diimbangi oleh peningkatan perbelanjaan semasa cuti hari raya dan 30 surcaj bagi pengangkutan awam," kata Shahrir.

Bagaimanapun, beliau tidak menjangka CPI telahpun sampai ke paras puncaknya.

Shahrir berkata, kadar inflasi nampak telah stabil ekoran peningkatan bulan ke bulan hanya 0.2 peratus.

Rabu, September 24, 2008

Yang Di Pertuan Agong Atau Parlimen


Profesor Dr Abdul Aziz Bari Tue Sep 23, 08 9:14:01 am MYT

Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi telah menolak cadangan Dato Seri Anwar agar diadakan satu persidangan khas parlimen untuk membahaskan perkembangan mutakhir politik negara. Ini menunjukkan betapa sukarnya untuk memanggil sidang khas parlimen bagi membincangkan usul undi tidak percaya walaupun cara ini adalah demokratik dan berperlembagaan.

Budaya politik dan perundangan negara kita menyebabkan ia sukar berlaku. Sistem politik negara kita adalah berteraskan sistem Westminster yang mana fungsi ketua negara terpisah daripada fungsi ketua kerajaan. Walaupun Yang di-Pertuan Agong lebih banyak memainkan peranan simbolik, Baginda sebenarnya berkuasa untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam situasi yang perlu.

Yang Di Pertuan Agong Dan Politik

Para penasihat Anwar mungkin agak gusar jika beliau terus pergi mengadap Yang Di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan untuk membentuk kerajaan baru. Mereka mungkin tidak mahu Yang di-Pertuan Agong terlibat secara langsung dalam politik. Para penasihat ini seolah-olah bimbang dan terlupa peranan penting Yang di-Pertuan Agong dalam menjaga negara. Satu perkara biasa dalam sistem Westminster yang kita amalkan. Dan ini tidak terhad kepada negara-negara yang mempunyai Raja (sistem monarki) sahaja.

Negara republik seperti India turut membolehkan ketua negaranya memainkan peranan dalam situasi luar biasa, walaupun biasanya ketua negara tersebut hanya memainkan peranan simbolik sahaja. Peranan sebegini sebenarnya pernah diutarakan oleh Laporan Suruhanjaya Reid. Tetapi, oleh kerana ini merupakan kali pertama kita menghadapi situasi sebegini, kebimbangan mereka boleh difahami.

Bagaimanapun Anwar tidak menolak kemungkinan untuk pergi terus ke Istana. Oleh kerana Abdullah telah menolak cadangan agar diadakan sidang khas parlimen, Anwar kini mempunyai sebab untuk memohon mengadap Yang di-Pertuan Agong. Sistem perundangan kita tidak menyebut dengan jelas sama ada pertukaran kerajaan hanya boleh dibuat melalui parlimen. Artikel 43(4) dalam Perlembagaan memungkinkan pertukaran dibuat dengan cara majoriti ahli parlimen memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa mereka telah menarik balik sokongan terhadap kerajaan sedia ada. Ini akan mewajibkan Perdana Menteri meletak jawatan. Yang di-Pertuan Agong kemudiannya boleh melantik seorang ahli parlimen yang mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri baru.

Hujah Salah

Pertukaran kerajaan melalui undi tidak percaya merupakan perkara yang pernah berlaku di negara-negara Komanwel lain. Tetapi ia amat sukar dilakukan di Malaysia kerana Umno menyekat sebarang usaha membentangkan usul undi tidak percaya. Speaker Parlimen Pandikar Amin Mulia mengatakan bahawa Perdana Menteri mempunyai kuasa penuh untuk memutuskan sama ada mahu memanggil sidang khas parlimen atau tidak. Rasanya Perlembagaan kita tidak bermaksud untuk memberi kuasa kepada Perdana Menteri membuat kata putus dalam hal ini.
Perdana Menteri merupakan ketua Eksekutif dan jika beliau mempunyai kuasa mutlak, maka ini seolah-olah meletakkan Legislatif di bawah Eksekutif. Pasti ini bertentangan dengan konsep pemisahan kuasa yang dituntut oleh sistem politik negara kita.

Selain itu, sukar dibayangkan sesebuah kerajaan akan bersetuju untuk memanggil sidang khas parlimen jika terdapat hal-hal yang mengancam penerusan hayat kerajaan tersebut. Hujah bahawa Perdana Menteri sahaja berkuasa memanggil parlimen adalah lemah. Speaker Pandikar Amin Mulia ada juga memetik peraturan parlimen (Standing Orders) dalam membuat keputusan beliau. Tetapi peraturan parlimen dibentuk berasaskan peruntukan Perlembagaan Artikel 62(1). Peraturan ini statusnya lebih rendah daripada Perlembagaan. Apabila Speaker menggunakan hujah peraturan parlimen, beliau seolah-oleh mengatakan bahawa peraturan tersebut lebih tinggi daripada Perlembagaan. Ini tidak betul.

Yang di-Pertuan Agong berhak untuk memanggil persidangan parlimen tergempar. Tidak mungkin apabila Baginda mempunyai kuasa memprorog dan membubarkan parlimen seperti termaktub dalam Artikel 55 Perlembagaan, Baginda tidak pula berhak memanggil parlimen bersidang. Artikel 40(2) pula merupakan satu artikel umum dan situasi sekarang lebih kelihatan sebagai satu pengecualian. Yang di-Pertuan Agong memang mempunyai peranan dalam situasi sekarang. Ini bukan luar biasa kerana sistem yang kita amalkan kadang kala memang memerlukan tindakan-tindakan tertentu untuk membolehkan ia berfungsi dengan baik. Yang di-Pertuan Agong perlu memainkan peranan untuk memastikan Perlembagaan boleh terus terlaksana. Yang pastinya, ini bukanlah penamat bagi Abdullah. Sekiranya Anwar berjaya membentuk kerajaan, Abdullah juga boleh mencabar Anwar dengan cara yang sama. Inilah sebabnya kenapa Abdullah perlu membenarkan sistem Westminster yang kita amalkan berfungsi seperti sewajarnya.

Anwar telah berjanji akan menghormati Perlembagaan. Maka mungkin langkah pertama yang perlu beliau usulkan ialah membolehkan Speaker dilantik melalui pengundian bebas. Parlimen kita akan menghampiri status parlimen kelas pertama jika Speaker yang dipilih ialah dari kalangan parti pembangkang.

Kuasa Agong Atau Kuasa Parlimen?

Kembali kepada dua cara penukaran kerajaan tadi, iaitu sama ada melalui undi tidak percaya di parlimen atau melalui kuasa Yang di-Pertuan Agong, saya rasa kedua-duanya dibenarkan oleh kerangka Artikel 43(4) Perlembagaan kita.

Cara pertama iaitu pengundian di parlimen memanglah cara yang paling ideal dan lebih demokratik. Cara ini telah berlaku jika kita teliti kes Datuk Stephen Kalong Ningkan, bekas Ketua Menteri Sarawak, pada tahun 1966. Tetapi ini hanya boleh berlaku dalam satu sistem politik yang terbuka dan demokratik. Bolehkah ia berlaku dalam situasi Malaysia sekarang? Kita boleh melihat dengan jelas betapa kerajaan Barisan Nasional berusaha sedaya upaya menghalang usul undi tidak percaya dibahaskan di Parlimen termasuklah dengan mengancam penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Cara kedua, iaitu melalui tindakan Yang di-Pertuan Agong, terhasil daripada pembacaan literal Artikel 43(4) bersama dengan Artikel 40(2)(a). Cara ini yang lebih cepat daripada cara pertama tadi. Dan, oleh kerana terdapat unsur-unsur tidak demokratik dalam menghalang tercapainya cara pertama, maka mungkin cara kedua ini lebih praktikal. Ia juga boleh menghalang kerajaan daripada terus menerus menyekat perubahan. Tetapi cara ini amat bergantung kepada kemahuan Yang di-Pertuan Agong untuk memainkan peranan yang lebih proaktif.

Mungkin wajar disebut di sini bahawa terdapat negara-negara demokrasi yang stabil di Eropah yang turut mengamalkan sistem monarki seperti kita. Di luar Eropah pula, telah terdapat Raja yang secara aktif membantu lahirnya demokrasi di negara mereka. Inilah yang berlaku di Sepanyol, Thailand dan juga sedikit sebanyak di Jordan. Adakah Raja-Raja kita juga mahu turut sama seperti Raja-Raja di negara-negara itu?

(Profesor Abdul Aziz Bari ialah Profesor Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa. Artikel ini diterjemahkan daripada artikel asal beliau berbahasa Inggeris oleh WauBebas.org) _

Khamis, September 18, 2008

Tahniah Dato' Zaid!!!

Tersentuh hati mummy atas tekad & ketegasan Dato' Zaid Ibrahim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang meletakkan jawatannya demi menegakkan prinsip undang-undang yang sebenar dalam membantah tindakan kerajaan BN menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mengikut kepentingan naluri mereka sendiri. Macam ni baru the true lawyer!

Pastinya apa yang berlaku memberi cubitan & tamparan kepada kerajaan BN tapi seperti biasa BN akan buat2 kebal, percaya pada tahyul tangkal tok bomoh yang dipakai. Nampaknya senjata dah makan tuan. Tindakan menyumbat YB Teresa Kok yang dimomok2kan menghina Islam & Melayu bukan menambah benci rakyat kepada PR tetapi menjadi bonus talian hayat pula kepada PR dan BN semakin termengah2 mencari ubat baru. Inilah jadinya bila tukang kayu nak jadi tukang masak. Habis tunggang-langgang dapur dibuatnya.

Walau bagaimanapun, cadangan untuk memansuhkan ISA perlu diteliti sebaik2nya kerana mummy pun setuju dengan Dato' Zaid, ISA masih relevan digunakan terhadap pengganas ataupun ke atas mereka yang cuba menggulingkan kerajaan menerusi kekerasan. Mummy belum sempat khatam lagi akta yang satu ni so tak berani nak ulas lebih2.

Rabu, September 17, 2008

Demi Kerana Cinta...

Seketika tadi hati berbunga-bunga
Biar ada secarik pedih yang bertapak
Ku singkir penuh rela
Demi cinta

Tapi kini luka bertimpa-timpa
Jiwa dikelar tanpa rasa berdosa
Lalu seperti selalu
Aku meratap sendiri di sudut sepi
Kerana cinta

Tak mampu ku lontar rasa ini
Bimbang luka semakin parah
Gusar sakit yang tiada penyudah
Hanya pada Mu aku menyerah
Hilangkan saja deria pedih ini
Biar luka belum tentu sembuhnya
Demi kerana cinta...

Selasa, September 16, 2008

Apa Dah Jadi 16hb September...


Biar apa pun spekulasinya, tuduhan atau cemuhan, hari ini memang mummy nanti2kan dengan harapan ada satu pembaharuan seperti yang dicanang2kan. Tapi... hari ni sama macam semalam, macam minggu lepas, bulan lepas, tahun lepas, 51 tahun lepas... UMNO/BN masih di situ.


Yang berbeza, kehidupan mummy dulu rasa2nya tidaklah sesempit seperti sekarang ini.

Ahad, September 14, 2008

Isnin, September 08, 2008

Pengalaman Difitnah

Dalam al-Quran, Allah berfirman, …dan ingatlah (angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada membunuh…(al-Baqarah: 191).

Mummy pernah melalui pengalaman difitnah. Walaupun tuduhannya tidaklah setragis yang diterima DSAI (jika benarlah dia benar2 difitnah) tetapi ia tetap hampir2 membunuh maruah dan harga diri mummy. Maruah dan harga diri seorang perempuan pula tu. Dan yang membuat fitnah pula adalah seorang yang berselindung di sebalik imej orang baik2, orang alim2, orang yang kononnya beradab tinggi. "Dah tak ada stok macam ni lagi," kata seorang teman yang cukup mengaguminya. Lalu apa yang berlaku? Mummy diadili bukan berdasarkan kepada bukti2 sahih tetapi cukup bersandarkan personaliti siapa yang lebih baik dan beragama kononnya.

Dia menang kerana aurat yang konon dipeliharanya. Dia menang kerana solat lima waktu yang konon tidak pernah ditinggalnya. Dia menang kerana tutur bahasa yang konon dijaganya. Mana mungkin dia membuat fitnah. Dia manusia terpuji. Dia orang baik2. Ala2 ustaz bersahabat dengan malaikat. Kontras dengan mummy, seorang yang keras dan brutal sekali, hah! Lalu mummy diputuskan akan dihumban ke neraka oleh orang2 yang merasakan mereka ahli syurga.

Mummy tidak terkesan dengan fitnah tersebut. Yelah, belum tahap2 kena masuk penjara atau menjadi tahanan ISA. Tapi lawan tetap lawan. Ini soal maruah. Bukan perkara main2. Status sebagai perempuan bukan bermakna mummy hanya perlu sekadar berserah sambil berendam air mata. Silap! Mummy tidak pernah menangis kerana fitnah itu. Silap bagi sebahagian besar (mereka tahu siapa mereka) yang merasakan mummy tewas. Silap besar! Tidak ada istilah mengalah sebelum berjuang bagi mummy. Sebaliknya perasaan mummy meluap2 seperti nak pergi berperang pulak ketika itu. Apa yang nak ditakutkan? Mummy ada semuanya. Bukti2 cukup semuanya. Saksi2 mummy pun bukan direka2. Dan mummy percaya Allah swt itu Maha Adil. Walaupun perjuangan mummy ketika itu dipermudah dan diperlecehkan malah ada yang mengatakan mummy mengada2kan cerita yang tidak ada dan mummy diketawakan mereka2 yang fanatik MAWI kepada 'dia' tapi takpe.... Kebenaran akhirnya terbukti juga. Yang teraniaya tetap akan terbela. Alhamdulillah, Allah swt memberikan kekuatan pada mummy ketika itu. Tapi sayang, ada sahabat yang tewas. Ada sahabat yang kecundang. Ada sahabat yang kecewa. Ada sahabat yang kesakitan dan terluka. Ada sahabat yang berendam air mata. Bukan kerana berkongsi penderitaan dengan mummy tetapi terpengaruh dengan fitnah yang dilemparkan. Dan ketika itulah nilai persahabatan teruji. Siapa sahabat sebenarnya? Dan siapa pula yang keparat sebenarnya.

Alangkah hinanya manusia itu yang memanipulasikan Islam yang suci melalui adab, aurat dan solat yang konon dipeliharanya demi kepentingan sendiri. Bagi membuktikan dia Maha Hebat. Semuanya cuma lakonan semata2. Dan akhirnya dia menerima hukuman Allah swt. Fitnah yang dilempar kini terpalit di muka sendiri. Dan lebih tragis lagi tuduhannya sehebat yang diterima DSAI. Tidak perlu bersumpah laknat. Kerana jelas perbuatannya dahulu memang dilaknat Allah swt. Atau mungkin memang dulu dia pernah bersumpah laknat agaknya, huh! Dan mummy memanjat sepenuh kesyukuran atas ihsan Yang Maha Kuasa memelihara mummy daripada fitnah tersebut dan mengurniakan mummy hidup yang sempurna kini.

Dan dek kerana pengalaman inilah, mummy tidak percaya lagi bahawa manusia ini boleh dinilai dari penampilannya, personalitinya, moralnya, pendidikannya, latar belakangnya mahupun keturunannya. Ahmad sanggup berkorban nyawa berjuang sebagai mat rempit yang digeruni. Abdullah sanggup mati di lorong2 belakang sebagai 'doktor tak bertauliah' demi untuk menikmati syurga sementara. Siti tega menghanyutkan anak dari darah dagingnya sendiri ke longkang2 demi menyelamatkan maruahnya. Dato Abu Bakar rela disuap 'bara' demi menjaga periuk nasinya. Apalah sangat sekadar melafaz sumpah. Dunia telah tua, banyak yang telah rosak dan dirosakkan.


Elak Emosi Tangani Fitnah

Penyebaran maklumat yang pantas dalam era teknologi maklumat kini mendedahkan kita kepada kemungkinan difitnah atau menerima penyebaran fitnah. Kemudahan seperti khidmat pesanan ringkas (SMS), laman web dan e-mel membolehkan penyebaran maklumat tanpa memerlukan bertemu secara berdepan, lebih mudah, cepat, meluas dan murah.

(Wawancara bersama PROF. DATUK PADUKA DR. MAHMOOD ZUHDI ABDUL MAJID, Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Kuliyyah Ilmu Wahyu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) sumber: Utusan Malaysia, 15 Julai 2008

Apakah perbezaan antara mengumpat dan fitnah?

Mengumpat itu adalah perbuatan mengeji atau mengutuk orang lain di luar pengetahuan orang tersebut. Fitnah pula adalah mengada-adakan sesuatu yang tidak ada atau mengaitkan diri seseorang dengan sesuatu yang tidak benar. Ia terhasil daripada persepsi atau gambaran dan bukannya berdasarkan realiti. Rasulullah s.a.w bersabda: Tahukah kamu apa itu memfitnah?

Para sahabat berkata: “Allah dan Rasulnya lebih mengetahui”. Baginda bersabda: Memfitnah adalah mengatakan sesuatu tentang saudara (Muslim) ketika dia tidak ada dan yang dia tidak suka. Ditanya: “Wahai Rasulullah jika kekurangan itu sungguh ada dalam diri seorang Muslim, maka apa yang harus aku dikatakan?” Baginda menjawab: Jika apa yang dikatakan itu benar, maka itu adalah mengumpat. (riwayat Muslim)

Fitnah ini bukan hanya berlaku sekarang. Saidatina Aishah juga pernah difitnah, begitu juga fitnah yang membawa kepada kematian khalifah Uthman Ibn Affan. Mengapa ia berlaku?

Dalam sejarah awal Islam, fitnah adalah berbentuk perbuatan mengadu domba atau melaga-lagakan orang. Sebabnya, orang Arab ketika itu masih kuat dipengaruhi semangat assabiyah atau kedaerahan. Apabila nabi wafat, maka berlaku cubaan merampas kuasa oleh orang Muhajirin di Saqifah Bani Saad. Bagaimanapun, cubaan itu berjaya dipatahkan oleh Saidina Abu Bakar dan Umar.Selain itu, orang Yahudi menabur fitnah untuk memecah-belahkan masyarakat.Malah, pada ketika itu juga ada golongan yang ekstrem sehingga mewujudkan syiah (penyokong kuat) pemimpin tertentu seperti syiah Abu Bakar dan syiah Ali.

Dalam al-Quran, Allah berfirman, …dan ingatlah (angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada membunuh…(al-Baqarah: 191). Mengapakah begitu besar ancaman fitnah ini kepada masyarakat?

Ayat di atas menjelaskan bahaya fitnah dalam masyarakat. Antara sebabnya adalah fitnah itu boleh dibaratkan sebagai pembunuh senyap yang boleh menjadikan sesiapa sahaja mangsanya. Mangsanya pula akan tertekan dan masyarakat jadi porak peranda. Berbanding dengan membunuh, ia hanya melibatkan nyawa. Sebab itu, dalam Islam hukum merampas barang orang dan mencuri berbeza. Mencuri hukumnya lebih berat kerana ia mengambil barang orang lain secara senyap dan menyebabkan masyarakat rasa tertekan dan tidak tenteram. Walhal, merampas barang orang walaupun berdosa tetapi hukumannya adalah dengan membayar ganti rugi.

Di akhirat, orang yang menabur fitnah akan diseksa kerana ia adalah dosa besar. Bagi Muslim, perbuatan tersebut akan menghilangkan ‘status’ sebagai Muslim. Allah turut menjelaskan betapa buruknya perbuatan mengumpat dan fitnah itu menerusi firman-Nya yang bermaksud: “…dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati?…” (al-Hujurat: 12) Sedangkan Islam menyuruh umatnya menutup keburukan yang dilakukan oleh saudara sesama Muslim. Bagi mereka yang menyembunyikan keburukan ini, maka Allah akan sembunyikan keburukan mereka di akhirat. Ini dijelaskan menerusi sabda Rasulullah s.a.w.

Dalam surah al-Hujurat ayat 6, kita diingatkan supaya berhati-hati apabila menerima berita daripada orang fasik. Persoalannya, bagaimana hendak mengetahui kefasikan seseorang itu?

Pengajaran yang lebih penting dalam ayat ini adalah membudayakan berhati-hati apabila menerima berita daripada orang kita ragui. Demikian juga apabila mendapat berita sama ada melalui khidmat pesanan suara (SMS), khabar angin, tuduhan melulu atau melalui Internet yang boleh dipertikaikan kejujurannya atau ada udang di sebalik batu, maka ini juga tergolong dalam kategori fasik.

Tentang maksud fasik ini, ulama berbeza pandangan. Ada yang berkata, fasik itu ialah orang yang pernah membuat dosa besar. Satu pihak lagi mengatakan fasik itu ialah orang yang pernah melakukan dosa besar atau yang sentiasa membuat dosa besar. Ada juga berita-berita kecil yang disensasikan oleh media. Dan ada juga berlaku di mana orang yang terlibat itu seronok sebab berita tentang dirinya dapat liputan meluas. Padahal natijahnya ia menimbulkan kekacauan dalam masyarakat.Apabila masyarakat, terutama anak muda terbiasa hidup dalam suasana fitnah menjadi perkara biasa, mereka akan hilang sensitiviti. Akhirnya masyarakat jadi kucar-kacir dan menghakis idealisme perpaduan dalam Islam.

Bagaimanapun, masyarakat kini nampaknya lebih percaya kepada berita Internet berbanding dalam media arus perdana?

Dalam bab ini saya ingin memetik kata-kata Sheikh Mohd. Abduh, seorang tokoh di Mesir iaitu, “kebebasan yang tidak terkawal adalah lebih buruk daripada kongkongan yang stabil”. Sekarang nampak seperti akhbar dan televisyen bukan lagi sumber pertama berita.

Sebaliknya, orang kini lebih percaya kepada maklumat secara ‘curi’ yang dipaparkan di Internet. Ini adalah budaya masyarakat dunia ketiga.Kita tiba-tiba berhadapan dengan kebebasan maklumat yang tidak biasa dinikmati sebelum ini. Sistem tapisan kita masih belum mencukupi. Jadi ramai yang tumpas disebabkan kejutan budaya itu. Jadi, kita perlukan sedikit masa untuk stabilkan keadaan.

Analoginya, seorang kanak-kanak itu sukakan warna merah kerana coklat dan gula-gulanya berwarna merah. Namun, suatu hari dia termakan cili yang juga berwarna merah. Maka, barulah dia tahu bahawa bukan semua berwarna merah itu menarik dan enak dimakan. Dalam pada itu, media arus perdana yang mementingkan kebenaran berita perlu lebih menonjol dan merombak birokrasi di dalamnya. Ini supaya boleh menjiwai arus media picisan yang begitu kuat pengaruhnya dalam masyarakat sekarang. Ini tidak boleh dilakukan dalam sekelip mata. Dalam keadaan sekarang, setiap orang terdedah kepada keburukan yang terhasil akibat kebebasan maklumat tanpa kawalan. Hanya mereka yang kukuh imannya akan selamat.

Apakah sikap dan tindakan yang perlu dilakukan oleh mangsa fitnah itu tadi?

Di dunia, mangsa berhak pertahankan diri dan minta pihak yang memfitnah itu kemukakan bukti dan kenyataan bagi menyokong kebenaran dakwaan tersebut. Dari segi doktrinnya, mereka tetap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah.Dari segi agama, mangsa perlu bersabar dan tidak melakukan fitnah balas kepada orang yang memfitnah atau kepada pihak ketiga. Kadang-kadang, kejadian ini adalah cubaan Allah untuk menguji keimanan seseorang. Baginda s.a.w sendiri pernah difitnah. Namun, fitnah atau tohmahan itu akan melahirkan peribadi yang lebih utuh.

Namun, jika sudah tidak mampu ditanggung atau ditahan lagi, kita akan melenting dan boleh membawa kepada kehancuran. Apabila terkena fitnah atau musibah, ia bukanlah 100 peratus keburukan. Mungkin yang kena fitnah itu akan terima sokongan ramai yang bersimpati dengannya. Barangkali juga kesulitan dan ujian Allah ini baik untuk kita sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “…Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik untuk kamu dan dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu perkara padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah) Allah jualah yang yang mengetahui semuanya itu, sedang kamu tidak mengetahuinya.” (al-Baqarah: 216).

Mari kita hayati kata-kata Imam Ghazali, “kekuatan itu bukan terletak orang yang boleh bergusti atau menang tetapi orang yang kuat ialah yang boleh menahan diri daripada bertindak liar apabila mereka dalam keadaan marah”. Kebanyakan pemimpin dunia mempunyai sifat begini. Malah dalam Islam, kita juga perlu beriman dengan qada dan qadar. Ini membolehkan kita berasa tenang dan tidak resah gelisah walau apa pun yang berlaku kerana semuanya telah ditentukan Allah. Malah pergantungan terakhir adalah pada Allah Yang Esa. Bagi budaya peradaban yang lebih tinggi, adalah dicadangkan supaya mangsa fitnah itu bersyukur kerana mujur tidak difitnah lebih besar daripada yang sekarang.

Apa pula reaksi orang Islam apabila berhadapan dengan hal sebegini?

Setiap Muslim tidak boleh terima bulat-bulat tohmahan atau fitnah yang disampaikan kecuali setelah diperiksa kesahihannya. Sebab itu Islam sangat menentang sifat jahiliah iaitu sifat yang menggunakan persepsi semata-mata untuk menentukan kebenaran atau tidak. Sebaliknya, umat Islam perlu menggunakan keyakinan data ilmiah dalam menentukan benar atau salah sesuatu berita itu.

Bagi pengikut mana-mana individu, apabila berhadapan dengan fitnah hendaklah mereka bertenang dan tidak bertindak melampau. Sebagai manusia, kita bukan maksum (terpelihara daripada dosa). Malah, apabila berlaku kematian kita menyebut Inna Lillahi wa Inna Ilaihirajiiun (dari Allah kita datang kepada Allah kita kembali). Apabila mendapat nikmat pula kita menyebut Alhamdulillah (segala puji bagi Allah). Mereka yang tunjukkan reaksi bukan menunjukkan sifat Muslim yang ideal. Bukanlah langsung kita tidak boleh bereaksi spontan seperti rasa marah. Yang dilarang ialah rasa marah yang berpanjangan. Sebabnya apabila emosi menguasai, kita tidak lagi menggunakan akal. Sedangkan yang sepatutnya akal menguasai emosi atau nafsu manusia. Yang perlu kita ingat adalah apabila Allah turunkan bala, ia akan mengenai semua orang sama ada yang melakukan maksiat atau orang yang beriman.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.” (al-Anfal: 25)

Apakah pula kriteria yang membolehkan mubahalah dalam Islam?

Muhabalah (bersumpah dan memohon Allah melaknat orang yang berdusta) ini disebut dalam firman Allah yang bermaksud: “Maka barang siapa yang membantahmu mengenainya (agama) sesudah datang pengetahuan kepadamu, katakanlah kepada mereka: Marilah kita mengajak anak-anak kami dan anak-anak kamu, perempuan-perempuan kami dan perempuan-perempuan kamu, diri-diri kami dan diri-diri kamu, kemudian kita bermubahalah (dengan berdoa dan memohon) menjadikan laknat Allah ke atas ke atas orang-orang yang berdusta.” (ali-‘Imran: 61)

Sebab turun ayat ini adalah bagi menceritakan pada suatu ketika Rasulullah s.a.w mengajak kaum Nasrani (Kristian) agar memeluk Islam dan membetulkan pandangan bahawa Nabi Isa itu bukan anak Tuhan. Kaum Nasrani kemudiannya meminta baginda mengemukakan bukti siapa lagi anak yang tidak mempunyai bapa selain Nabi Isa, lalu Nabi s.a.w berkata, Nabi Adam a.s.

Disebabkan tiada mekanisme untuk menyelesaikan pertikaian itu, maka baginda mengajak kaum Nasrani bermuhabalah. Apa yang menjadi pokok dalam muhabalah ini adalah sumpah dan mohon binasa bagi pihak yang menipu. Bagaimanapun, kaum Nasrani tadi khuatir, lalu bertanya adakah cara lain selain itu, maka baginda menjawab ada iaitu melalui bayar jizyah.

Dengan kata lain, muhabalah hanya perlu apabila sudah tidak ada jalan lain untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Bagi kes lain termasuk pertuduhan jenayah, kita mempunyai institusi untuk menyiasat kebenaran dakwaan itu iaitu mahkamah sivil dan mahkamah syariah. Maka, dalam kes sebegini ia tidak perlukan mubahalah. Kalau mereka yang terlibat ingin bersumpah itu soal lain.

Ahad, September 07, 2008

Nilai Sumpah Saiful

Sudah begitu lama mummy mahu menulis berkaitan isu sumpah-sumpah yang dikecoh-kecohkan. Namun kerana kekangan masa, niat suci mummy sentiasa tertangguh sehinggalah hari ini.

Mummy bukanlah penyokong mana-mana pihak, baik si Saiful mahupun DSAI. Namun sebagai seorang pengamal undang-undang, mummy lebih suka melihat dan mengulas isu ini dari perspektif undang-undang.

Ramai yang telah menjadi hakim menjatuhkan hukum siapa yang bersalah berdasarkan sumpah yang dibuat Saiful pada 15hb Ogos 2008. Keberanian Saiful mengucapkan sumpah laknat di dalam masjid sambil memegang Al-Quran begitu meninggalkan kesan. Mummy sendiri begitu kagum dengan keberaniannya. Dan hampir percaya dengan keikhlasannya. Namun beberapa ketika mummy kembali ke dunia nyata. Dan akhirnya tersedar dari sumpahan sementara. Dan mummy kembali percaya, sumpah itu mungkin tiada apa-apa dan mampu menjadi satu fitnah yang nyata.

Mummy bukan ahli dalam bidang agama jadi mummy biarkan yang ahli saja mengulas isu ini dari sudut agama supaya ia tidak menjadi fitnah kepada agama suci kita, Islam.

Antara DSAI dan Saiful, salah seorangnya adalah penipu yang maha munafik. Siapa antara mereka, buat masa ini hanya Allah swt sahaja yang Maha Mengetahui. Sehingga hari ini Saiful masih belum berjaya membuktikan kesnya. Saiful hanya membuat tuduhan sahaja. Bukti pun belum dipersembahkan lagi. Mengapa? Kerana kes ini belum dibicarakan. Jadi apa hak kita untuk menentukan siapa yang benar dan siapa yang salah antara mereka. Apa hak kita untuk menghukum siapa pembuat fitnah dan siapa peliwat antara mereka. Kita tidak berhak!!! Oleh itu lebih baik kita jangan menambah fitnah pula tak kiralah sama ada kepada Saiful mahupun DSAI.

Saiful sebagai orang yang membuat tuduhan perlu membuktikan kesnya terhadap DSAI. Dan ia perlu dibuktikan secara 'beyond reasonable doubt'. Sekiranya DSAI mampu menunjukkan keraguan dalam kes Saiful, maka Saiful gagal membutikan DSAI bersalah. Beban pembuktian kini di bahu orang yang membuat tuduhan, Saiful! Sebenarnya jika kita teliti betul-betul tidak jauh bezanya antara undang-undang Islam mahupun undang-undang sivil. Dalam kes jenayah seperti ini, beban pembuktian adalah terletak pada pihak yang mendakwa. Dan untuk mendakwa seseorang bukanlah sesuatu yang mudah jika tidak disokong dengan bukti-bukti yang kukuh bagi memastikan keadilan benar-benar ditegakkan. Mungkin ada yang beranggapan, tidak adil seseorang penjenayah terlepas hanya kerana kekurangan bukti sedangkan memang dia yang melakukan jenayah tersebut. Tetapi bagi mummy, lebih baik kita melepaskan sepuluh orang penjenayah daripada menghukum seorang yang tidak bersalah. Oleh yang demikian, bagi memastikan keadilan benar-benar ditegakkan, pihak-pihak berkenaan yang bertanggungjawab seperti polis (yang membuat siasatan), pendakwaraya, mahkamah dan yang berkaitan perlu melaksanakan tugas mereka dengan cermat dan bukan secara sambil lewa sepertimana pertuduhan yang dibuat ke atas DSAI baru-baru ini. Mummy sendiri pun hairan, mengapa pihak pendakwa memilih untuk mendakwa DSAI dengan pertuduhan tersebut. Adakah mereka begitu terburu-buru mahu mendakwa DSAI hingga terlepas pandang atau mungkin pertuduhannya memang begitu... suka sama suka??? Hanya mereka yang tahu. Dan Allah swt Maha Mengetahui!!!

Sekiranya Saiful mempunyai bukti-bukti yang kukuh, apalah yang perlu digusarkan. Kebenaran pasti akan berpihak pada anda jika anda benar-benar berpegang pada KEBENARAN. Cuma yang mummy gusarkan, jika Saiful tega bersumpah dan tiba-tiba ditimpa laknat, mohon dijauhkan Allah swt laknatnya kepada kita semua.

Mummy tetap bertegas bahawa sumpah Saiful telah menjadi satu fitnah kepada agama suci kita, Islam. Sumpah tersebut seolah-olah menolak keperluan kes tersebut dibicarakan mengikut lunas undang-undang yang sah. Sehingga ada rakan-rakan kita dari bangsa lain yang berkata, kalau setakat bersumpah sudah boleh menentukan betul salah seseorang itu, baik tutup saja semua mahkamah di Malaysia ini. Bukankah itu menjadi fitnah kepada agama kita. Islam tidak begitu. Islam agama yang adil. Islam agama yang bertamadun. Islam agama yang mempunyai sistem. Islam itu syumul!!!

Mummy percaya jika DSAI benar-benar seorang peliwat, apalah sangat yang hendak ditakutkan dengan bersumpah laknat. Meliwat pun tetap dilaknat Allah swt. Kekejian dosanya sama sahaja. Dan jika Saiful tega memfintah DSAI, mummy tak hairan jika dia juga tega bersumpah laknat. Pada mummy sumpah Saiful BELUM membuktikan apa-apa. Orang sanggup membunuh demi kepentingan diri atau untuk menutup satu dosa. Inikan pula sekadar bersumpah untuk habuan sendiri atau menyelamatkan diri.

Keberanian Saiful bersumpah laknat TIDAK membuktikan dia di pihak yang benar. Keengganan DSAI bersumpah laknat TIDAK membuktikan dia bersalah. Buat masa ini hanya mereka dan Allah swt sahaja yang tahu kebenarannya. Oleh yang demikian jangan pula kita mendakwa kita memiliki sifat MAHA MENGETAHUI dengan menjatuhkan hukum ketika ini.