Khamis, Oktober 09, 2008

Empat Saksi, Lima Kali Sumpah Atau Mubahalah?

Tuduh menuduh antara satu sama lain seolah sudah menjadi resam di negara kita dewasa ini. Ia menjadi ketara apabila disebar luas melalui akhbar-akhbar tempatan dan internet. Kebimbangan bertambah apabila agama diguna untuk menegakkan kebenaran oleh sesetengah pihak. Pendapat dalam agama yang songsang dalam amalan tuduh menuduh akan memburukkan lagi nama baik Islam di kalangan masyarakat bukan Islam serta menimbulkan keraguan di kalangan umat Islam sendiri tentang hukumnya. Di samping itu orang yang bersalah, baik yang menuduh mahu pun yang dituduh, mungkin akan terlepas daripada tindakan sewajar yang harus dikenakan ke atasnya.

Empat saksi menjadi sebutan keramat hari ini. Itu dikatakan kehendak Islam dalam membuat tuduhan. Memang benar, al-Qur'an ada menyebut mengenai mendatangkan empat saksi apabila membuat tuduhan, dan ayat berkenaan berbunyi, “Dan orang-orang yang membalingkan (tuduhan berzina) kepada wanita-wanita yang berkahwin, dan kemudian tidak mendatangkan empat saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh sebatan, dan janganlah terima sebarang kesaksian mereka selama-lamanya; mereka itu, merekalah orang-orang fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan).” (24:4)

Ayat itu menyebut mengenai tuduhan berzina ke atas perempuan yang berkahwin. Pada hemat penulis, tuduhan ke atas golongan lain, seperti perempuan yang tidak berkahwin dan kaum lelaki yang berkahwin atau yang tidak, pun harus sama syaratnya. Pendapat berdasarkan tidak ada lagi ayat al-Qur'an yang menyentuh mengenai tuduhan ke atas golongan-golongan tersebut. Tambahan pula, ayat tadi harus diterima sebagai satu contoh atas segala tuduhan berkaitan perlakuan seks yang sumbang.

Untuk mendapatkan empat saksi atau empat pasang mata manusia yang melihat kesumbangan dilakukan adalah agak mustahil melainkan ia dijadikan satu pertunjukan atau dilakukan di tempat lapang di mana sekurang-kurangnya empat orang dapat menyaksikan adegannya.

Penulis percaya empat saksi seperti itu bukan maksud Tuhan yang sebenar. Kerana Dia telah memberi satu lagi iktibar di dalam Kitab-Nya, iaitu dalam cerita Nabi Yusuf tatkala baginda dituduh oleh isteri Gabenor melakukan sesuatu yang sumbang terhadap dirinya. Kisah berbunyi, “Berkata (Nabi Yusuf), ‘Dia yang menggoda aku’; dan seorang saksi daripada keluarganya menyaksikan, ‘Jika bajunya (Yusuf) dikoyakkan daripada depan, maka dia (perempuan) telah berkata benar, dan dia (Yusuf) termasuk orang-orang yang dusta. Tetapi jika bajunya dikoyakkan daripada belakang, maka dia (perempuan) telah berdusta, dan dia (Yusuf) termasuk orang-orang yang benar."

Apabila dia (Gabenor) melihat bajunya dikoyakkan dari belakang, dia berkata, ‘Ini muslihat perempuan daripada kamu; sesungguhnya muslihat kamu besar.’” (12:26-28)

Saksi yang tampil itu tidak melihat kejadian yang berlaku tetapi hanya menyuruh melihat kepada bukti jelas yang ada, iaitu baju yang koyak. Dengan kesaksian tersebut Nabi Yusuf didapati tidak bersalah. Maka, saksi tidak semestinya bermaksud biji-biji mata manusia. Mungkin ada yang bertanya tentang bukti-bukti lain supaya menjadi empat. Jika begitu, sayugia diingat iaitu pihak yang membuat tuduhan ialah isteri Gabenor, bukan Yusuf, seperti dijelaskan ayat berikut:

"Dan kedua-duanya berlumba ke pintu; dan dia (isteri Gabenor) mengoyakkan bajunya dari belakang. Mereka mendapati ketua mereka di depan pintu. Dia (isteri Gabenor) berkata, 'Apakah balasan bagi orang yang menghendaki kejahatan terhadap keluarga kamu, melainkan bahawa dia dipenjarakan, atau satu azab yang pedih?'" (12:25)

Justeru, dalam kemelut empat saksi bagi tuduhan seks luar biasa, yang sedang disebut-sebut hari ini, adalah bukan bermaksud empat orang yang menyaksikan kejahatan, seperti didakwa oleh sesetengah pihak, tetapi empat bukti yang jelas. Sekiranya penuduh tidak dapat mendatangkannya maka dia harus dihukum dengan hukuman tidak melebihi lapan puluh sebatan. Bagi yang dituduh pula, apabila sabit kesalahan, dia dihukum, bukan dengan sebatan maksima seratus kali kerana itu untuk zina, tetapi dikurung atau dipenjara.
Diturunkan dua ayat berkaitan di mana yang pertama disebut mengenai seks perempuan dengan perempuan: "Dan perempuan-perempuan kamu yang melakukan kesumbangan, panggillah empat antara kamu untuk menyaksikan terhadap mereka; dan jika mereka menyaksikan, tahanlah mereka di dalam rumah-rumah mereka sehingga kematian mematikan mereka, atau Allah mengadakan bagi mereka satu jalan. Dan apabila dua orang antara kamu (lelaki) melakukannya (kesumbangan), maka hukumlah keduanya; tetapi jika mereka bertaubat, dan membetulkan, maka berpalinglah daripada keduanya; Sesungguhnya Allah adalah Yang Menerima Taubat, Pengasih." (4:15-16)

Mereka dikurung atau dipenjara sehingga pulih daripada penyakit yang terbenam di dalam jiwa mereka. Demikian hanya pendapat penulis.

Selanjutnya pula, jika empat bukti atau saksi tidak dapat ditunjukkan, maka Tuhan mengajar pula supaya bersumpah lima kali seperti diisyaratkan oleh ayat berikut:
“Dan orang-orang yang membalingkan (tuduhan) kepada isteri-isteri mereka tanpa saksi-saksi, kecuali diri-diri mereka sendiri, maka kesaksian seorang daripada mereka ialah menyaksikan dengan Allah empat kali, bahawa dia termasuk orang-orang yang benar. Dan yang kelima, bahawa laknat Allah adalah ke atasnya, jika dia termasuk antara pendusta-pendusta. Ia akan menghindarkannya (isteri) daripada azab, jika dia menyaksikan dengan Allah empat kali bahawa dia (suami) adalah antara pendusta-pendusta. Dan yang kelima, bahawa kemurkaan Allah adalah ke atasnya jika dia (suami) termasuk orang-orang yang benar.” (24:6-9)

Bermaksud, orang yang menuduh harus bersumpah empat kali dengan Allah, atau menyebut Demi Allah, bahawa dia adalah benar, dan sumpah kelima, bahawa laknat Allah adalah ke atasnya jika dia berdusta. Seperti itu jua sumpah orang yang dituduh, iaitu sebanyak lima kali juga. Selepas itu, tunggu kedatangan azab daripada-Nya. Yakinlah, ia pasti datang.

Terdengar juga sesetengah pihak menyarankan agar diadakan mubahalah dalam kes sumbang seks yang menjadi tumpuan dewasa ini. Penulis berpendapat perbuatan itu tidak begitu tepat kerana Tuhan hanya menyuruh berbuat demikian dalam kes yang berlainan. Firman-Nya, “Dan sesiapa mendebat kamu mengenainya (kewafatan Nabi Isa), setelah pengetahuan yang datang kepada kamu, maka katakanlah, ‘Marilah, hendaklah kita menyeru anak-anak kami dan anak-anak kamu, dan isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, dan diri-diri kami dan diri-diri kamu, kemudian hendaklah kita memohon dengan rendah hati dan meletakkan laknat Allah ke atas orang-orang yang berdusta.’" (3:61)

Demikian tujuan dan cara melakukan mubahalah, iaitu atas perselisihan mengenai agama dan memanggil anak-anak dan isteri-isteri masing-masing untuk bersama memohon laknat Tuhan ke atas, antara mereka, yang berdusta.

Yang baik dalam tuduh menuduh hari ini ialah apabila didapati semua pihak terbabit bersetuju untuk mendapatkan penyelesaian menerusi agama. Tentu sekali, apabila ayat-ayat Tuhan dituruti dengan betul maka keadilan dapat ditegakkan tanpa ragu-ragu lagi.
Dipetik dari laman web e-bacaan.com

Rabu, Oktober 08, 2008

Lelaki & Wanita Dalam Al-Quran

Sama

Beralih kepada soal sama ada lelaki dan perempuan itu sama. Sebenarnya, mereka adalah sama di sisi Allah. Kesamaan mereka adalah pada:

1. usaha untuk mencari pemberian daripada Allah. Firman-Nya, "Bagi orang lelaki, sebahagian daripada apa yang mereka mengusahakan, dan bagi orang perempuan, sebahagian daripada apa yang mereka mengusahakan. Dan mintalah kepada Allah pemberian-Nya" (4:32).

2. keimanan dan ganjaran daripada Allah. Firman-Nya, "Lelaki yang muslim dan perempuan yang muslim, dan lelaki yang mukmin dan perempuan yang mukmin, dan lelaki yang patuh dan perempuan yang patuh, dan lelaki yang benar dan perempuan yang benar, dan lelaki yang sabar dan perempuan yang sabar, dan lelaki yang merendah hati dan perempuan yang merendah hati, dan lelaki yang bersedekah dan perempuan yang bersedekah, dan lelaki yang berpuasa dan perempuan yang berpuasa, dan lelaki yang menjaga kemaluan mereka dan perempuan yang menjaga, dan lelaki yang mengingat Allah dengan banyak dan perempuan yang mengingat - bagi mereka, Allah menyediakan keampunan dan upah yang besar" (33:35). Pendek kata, seperti kata Allah juga, "Sesiapa membuat kerja-kerja kebaikan, lelaki atau perempuan, dan dia seorang mukmin, mereka akan masuk Taman (syurga), dan tidak dizalimi satu bintit pun" (4:124). Kata mukmin bererti believer dalam bahasa Inggeris.

3. jodoh masing-masing, iaitu yang jahat bagi yang jahat dan yang baik bagi yang baik. Firman-Nya, "Wanita-wanita yang buruk untuk lelaki-lelaki yang buruk, dan lelaki-lelaki yang buruk untuk wanita-wanita yang buruk; wanita-wanita yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk wanita-wanita yang baik" (24:26), dan,

4. hukum, seperti hukum zina yang berbunyi, "Perempuan yang berzina, dan lelaki yang berzina, sebatlah tiap-tiap seorang daripada mereka dengan seratus sebatan" (24:2), dan hukum bagi pencuri, berbunyi "Dan pencuri lelaki dan pencuri perempuan, potonglah tangan keduanya sebagai satu balasan ke atas apa yang mereka mengusahakan" (5:38).

Hak

Begitulah juga dengan hak. Kaum wanita mempunyai hak yang sama dengan kaum lelaki. Hak yang sama ini diberikan Allah kepada mereka dengan firman-Nya yang berbunyi, "Bagi perempuan ada hak yang baik seperti yang ke atas lelaki" (2:228).

Perbezaan

Namun begitu, mungkin kerana perbezaan pada kromosom antara lelaki dan perempuan membuatkan ada sedikit perbezaan, dan perbezaannya adalah dalam tanggungjawab. Ayat-ayat al-Qur’an yang menjelaskannya adalah seperti di bawah:

1. "Tetapi para lelaki mereka adalah satu darjat di atas mereka” (2:228). Darjat di sini, menurut konteksnya, adalah hak suami untuk mengambil balik isteri yang diceraikan apabila mereka ingin membetulkan antara mereka.

2. "Lelaki-lelaki adalah pengurus-pengurus urusan perempuan, dengan sebab Allah melebihkan sebahagian mereka di atas sebahagian yang lain, dan kerana mereka menafkahkan (membelanjakan) daripada harta mereka" (4:34). Kaum lelaki dipertanggungjawabkan sebagai pengurus urusan perempuan kerana kaum lelakilah yang membelanjakan. Kaum lelaki menyara hidup kaum perempuan, dan bukan sebaliknya. Pada sebuah ayat yang lain pula, Allah menyatakan, "Adalah atas bapa untuk memberi rezeki dan pakaian mereka dengan baik" (2:233). Ayat ini bersangkut hal perceraian; sehingga dalam keadaan begini pun bapa dipertanggungjawabkan menyara anak-anaknya.

3. "Atau jika kedua-duanya bukan lelaki (saksi-saksi dalam perjanjian perdagangan yang tidak bertulis), maka seorang lelaki dan dua orang perempuan, saksi-saksi yang kamu berpuas hati, bahawa jika salah seorang daripada keduanya sesat, yang lagi seorang akan mengingatkannya" (2:282). Walaupun dua tetapi hanya seorang yang memberi kesaksian. Yang seorang lagi mengingatkannya jika dia sesat, seperti berkahwin dengan saksi lelaki, atau kerana hormon yang mudah mempengaruhi emosi. Kesaksian terdedah kepada tekanan pihak lelaki, dan dengan Allah menetapakan dua perempuan, Dia memberi perlindunagn kepada mereka daripada manipulasi kaum lelaki. Inilah satu-satunya kesaksian yang memerlukan dua perempuan (perjanjian perdagangan tanpa tulis). Dalam yang lain tidak, seperti "Dan orang-orang yang membalingkan kepada isteri-isteri mereka tanpa saksi-saksi, kecuali diri-diri mereka sendiri, maka kesaksian seorang daripada mereka ialah menyaksikan dengan Allah empat kali, bahawa dia termasuk orang-orang yang benar." (24:6)

4. "Allah mewasiatkan kamu mengenai anak-anak kamu; bagi lelaki serupa dengan bahagian dua perempuan ..." (4:11). Ini adalah bunyi permulaan ayat yang menetapkan bahagian-bahagian yang diterima oleh kaum lelaki dan perempuan dalam pembahagian harta pesaka. Akan tetapi, ia tidak semestinya dibahagi begitu.

Demikian beberapa ketidaksamaan antara lelaki dan perempuan yang tersurat di dalam al-Qur’an.
Dipetik daripada laman web e-bacaan.com