Khamis, Oktober 09, 2008

Empat Saksi, Lima Kali Sumpah Atau Mubahalah?

Tuduh menuduh antara satu sama lain seolah sudah menjadi resam di negara kita dewasa ini. Ia menjadi ketara apabila disebar luas melalui akhbar-akhbar tempatan dan internet. Kebimbangan bertambah apabila agama diguna untuk menegakkan kebenaran oleh sesetengah pihak. Pendapat dalam agama yang songsang dalam amalan tuduh menuduh akan memburukkan lagi nama baik Islam di kalangan masyarakat bukan Islam serta menimbulkan keraguan di kalangan umat Islam sendiri tentang hukumnya. Di samping itu orang yang bersalah, baik yang menuduh mahu pun yang dituduh, mungkin akan terlepas daripada tindakan sewajar yang harus dikenakan ke atasnya.

Empat saksi menjadi sebutan keramat hari ini. Itu dikatakan kehendak Islam dalam membuat tuduhan. Memang benar, al-Qur'an ada menyebut mengenai mendatangkan empat saksi apabila membuat tuduhan, dan ayat berkenaan berbunyi, “Dan orang-orang yang membalingkan (tuduhan berzina) kepada wanita-wanita yang berkahwin, dan kemudian tidak mendatangkan empat saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh sebatan, dan janganlah terima sebarang kesaksian mereka selama-lamanya; mereka itu, merekalah orang-orang fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan).” (24:4)

Ayat itu menyebut mengenai tuduhan berzina ke atas perempuan yang berkahwin. Pada hemat penulis, tuduhan ke atas golongan lain, seperti perempuan yang tidak berkahwin dan kaum lelaki yang berkahwin atau yang tidak, pun harus sama syaratnya. Pendapat berdasarkan tidak ada lagi ayat al-Qur'an yang menyentuh mengenai tuduhan ke atas golongan-golongan tersebut. Tambahan pula, ayat tadi harus diterima sebagai satu contoh atas segala tuduhan berkaitan perlakuan seks yang sumbang.

Untuk mendapatkan empat saksi atau empat pasang mata manusia yang melihat kesumbangan dilakukan adalah agak mustahil melainkan ia dijadikan satu pertunjukan atau dilakukan di tempat lapang di mana sekurang-kurangnya empat orang dapat menyaksikan adegannya.

Penulis percaya empat saksi seperti itu bukan maksud Tuhan yang sebenar. Kerana Dia telah memberi satu lagi iktibar di dalam Kitab-Nya, iaitu dalam cerita Nabi Yusuf tatkala baginda dituduh oleh isteri Gabenor melakukan sesuatu yang sumbang terhadap dirinya. Kisah berbunyi, “Berkata (Nabi Yusuf), ‘Dia yang menggoda aku’; dan seorang saksi daripada keluarganya menyaksikan, ‘Jika bajunya (Yusuf) dikoyakkan daripada depan, maka dia (perempuan) telah berkata benar, dan dia (Yusuf) termasuk orang-orang yang dusta. Tetapi jika bajunya dikoyakkan daripada belakang, maka dia (perempuan) telah berdusta, dan dia (Yusuf) termasuk orang-orang yang benar."

Apabila dia (Gabenor) melihat bajunya dikoyakkan dari belakang, dia berkata, ‘Ini muslihat perempuan daripada kamu; sesungguhnya muslihat kamu besar.’” (12:26-28)

Saksi yang tampil itu tidak melihat kejadian yang berlaku tetapi hanya menyuruh melihat kepada bukti jelas yang ada, iaitu baju yang koyak. Dengan kesaksian tersebut Nabi Yusuf didapati tidak bersalah. Maka, saksi tidak semestinya bermaksud biji-biji mata manusia. Mungkin ada yang bertanya tentang bukti-bukti lain supaya menjadi empat. Jika begitu, sayugia diingat iaitu pihak yang membuat tuduhan ialah isteri Gabenor, bukan Yusuf, seperti dijelaskan ayat berikut:

"Dan kedua-duanya berlumba ke pintu; dan dia (isteri Gabenor) mengoyakkan bajunya dari belakang. Mereka mendapati ketua mereka di depan pintu. Dia (isteri Gabenor) berkata, 'Apakah balasan bagi orang yang menghendaki kejahatan terhadap keluarga kamu, melainkan bahawa dia dipenjarakan, atau satu azab yang pedih?'" (12:25)

Justeru, dalam kemelut empat saksi bagi tuduhan seks luar biasa, yang sedang disebut-sebut hari ini, adalah bukan bermaksud empat orang yang menyaksikan kejahatan, seperti didakwa oleh sesetengah pihak, tetapi empat bukti yang jelas. Sekiranya penuduh tidak dapat mendatangkannya maka dia harus dihukum dengan hukuman tidak melebihi lapan puluh sebatan. Bagi yang dituduh pula, apabila sabit kesalahan, dia dihukum, bukan dengan sebatan maksima seratus kali kerana itu untuk zina, tetapi dikurung atau dipenjara.
Diturunkan dua ayat berkaitan di mana yang pertama disebut mengenai seks perempuan dengan perempuan: "Dan perempuan-perempuan kamu yang melakukan kesumbangan, panggillah empat antara kamu untuk menyaksikan terhadap mereka; dan jika mereka menyaksikan, tahanlah mereka di dalam rumah-rumah mereka sehingga kematian mematikan mereka, atau Allah mengadakan bagi mereka satu jalan. Dan apabila dua orang antara kamu (lelaki) melakukannya (kesumbangan), maka hukumlah keduanya; tetapi jika mereka bertaubat, dan membetulkan, maka berpalinglah daripada keduanya; Sesungguhnya Allah adalah Yang Menerima Taubat, Pengasih." (4:15-16)

Mereka dikurung atau dipenjara sehingga pulih daripada penyakit yang terbenam di dalam jiwa mereka. Demikian hanya pendapat penulis.

Selanjutnya pula, jika empat bukti atau saksi tidak dapat ditunjukkan, maka Tuhan mengajar pula supaya bersumpah lima kali seperti diisyaratkan oleh ayat berikut:
“Dan orang-orang yang membalingkan (tuduhan) kepada isteri-isteri mereka tanpa saksi-saksi, kecuali diri-diri mereka sendiri, maka kesaksian seorang daripada mereka ialah menyaksikan dengan Allah empat kali, bahawa dia termasuk orang-orang yang benar. Dan yang kelima, bahawa laknat Allah adalah ke atasnya, jika dia termasuk antara pendusta-pendusta. Ia akan menghindarkannya (isteri) daripada azab, jika dia menyaksikan dengan Allah empat kali bahawa dia (suami) adalah antara pendusta-pendusta. Dan yang kelima, bahawa kemurkaan Allah adalah ke atasnya jika dia (suami) termasuk orang-orang yang benar.” (24:6-9)

Bermaksud, orang yang menuduh harus bersumpah empat kali dengan Allah, atau menyebut Demi Allah, bahawa dia adalah benar, dan sumpah kelima, bahawa laknat Allah adalah ke atasnya jika dia berdusta. Seperti itu jua sumpah orang yang dituduh, iaitu sebanyak lima kali juga. Selepas itu, tunggu kedatangan azab daripada-Nya. Yakinlah, ia pasti datang.

Terdengar juga sesetengah pihak menyarankan agar diadakan mubahalah dalam kes sumbang seks yang menjadi tumpuan dewasa ini. Penulis berpendapat perbuatan itu tidak begitu tepat kerana Tuhan hanya menyuruh berbuat demikian dalam kes yang berlainan. Firman-Nya, “Dan sesiapa mendebat kamu mengenainya (kewafatan Nabi Isa), setelah pengetahuan yang datang kepada kamu, maka katakanlah, ‘Marilah, hendaklah kita menyeru anak-anak kami dan anak-anak kamu, dan isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, dan diri-diri kami dan diri-diri kamu, kemudian hendaklah kita memohon dengan rendah hati dan meletakkan laknat Allah ke atas orang-orang yang berdusta.’" (3:61)

Demikian tujuan dan cara melakukan mubahalah, iaitu atas perselisihan mengenai agama dan memanggil anak-anak dan isteri-isteri masing-masing untuk bersama memohon laknat Tuhan ke atas, antara mereka, yang berdusta.

Yang baik dalam tuduh menuduh hari ini ialah apabila didapati semua pihak terbabit bersetuju untuk mendapatkan penyelesaian menerusi agama. Tentu sekali, apabila ayat-ayat Tuhan dituruti dengan betul maka keadilan dapat ditegakkan tanpa ragu-ragu lagi.
Dipetik dari laman web e-bacaan.com

Rabu, Oktober 08, 2008

Lelaki & Wanita Dalam Al-Quran

Sama

Beralih kepada soal sama ada lelaki dan perempuan itu sama. Sebenarnya, mereka adalah sama di sisi Allah. Kesamaan mereka adalah pada:

1. usaha untuk mencari pemberian daripada Allah. Firman-Nya, "Bagi orang lelaki, sebahagian daripada apa yang mereka mengusahakan, dan bagi orang perempuan, sebahagian daripada apa yang mereka mengusahakan. Dan mintalah kepada Allah pemberian-Nya" (4:32).

2. keimanan dan ganjaran daripada Allah. Firman-Nya, "Lelaki yang muslim dan perempuan yang muslim, dan lelaki yang mukmin dan perempuan yang mukmin, dan lelaki yang patuh dan perempuan yang patuh, dan lelaki yang benar dan perempuan yang benar, dan lelaki yang sabar dan perempuan yang sabar, dan lelaki yang merendah hati dan perempuan yang merendah hati, dan lelaki yang bersedekah dan perempuan yang bersedekah, dan lelaki yang berpuasa dan perempuan yang berpuasa, dan lelaki yang menjaga kemaluan mereka dan perempuan yang menjaga, dan lelaki yang mengingat Allah dengan banyak dan perempuan yang mengingat - bagi mereka, Allah menyediakan keampunan dan upah yang besar" (33:35). Pendek kata, seperti kata Allah juga, "Sesiapa membuat kerja-kerja kebaikan, lelaki atau perempuan, dan dia seorang mukmin, mereka akan masuk Taman (syurga), dan tidak dizalimi satu bintit pun" (4:124). Kata mukmin bererti believer dalam bahasa Inggeris.

3. jodoh masing-masing, iaitu yang jahat bagi yang jahat dan yang baik bagi yang baik. Firman-Nya, "Wanita-wanita yang buruk untuk lelaki-lelaki yang buruk, dan lelaki-lelaki yang buruk untuk wanita-wanita yang buruk; wanita-wanita yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk wanita-wanita yang baik" (24:26), dan,

4. hukum, seperti hukum zina yang berbunyi, "Perempuan yang berzina, dan lelaki yang berzina, sebatlah tiap-tiap seorang daripada mereka dengan seratus sebatan" (24:2), dan hukum bagi pencuri, berbunyi "Dan pencuri lelaki dan pencuri perempuan, potonglah tangan keduanya sebagai satu balasan ke atas apa yang mereka mengusahakan" (5:38).

Hak

Begitulah juga dengan hak. Kaum wanita mempunyai hak yang sama dengan kaum lelaki. Hak yang sama ini diberikan Allah kepada mereka dengan firman-Nya yang berbunyi, "Bagi perempuan ada hak yang baik seperti yang ke atas lelaki" (2:228).

Perbezaan

Namun begitu, mungkin kerana perbezaan pada kromosom antara lelaki dan perempuan membuatkan ada sedikit perbezaan, dan perbezaannya adalah dalam tanggungjawab. Ayat-ayat al-Qur’an yang menjelaskannya adalah seperti di bawah:

1. "Tetapi para lelaki mereka adalah satu darjat di atas mereka” (2:228). Darjat di sini, menurut konteksnya, adalah hak suami untuk mengambil balik isteri yang diceraikan apabila mereka ingin membetulkan antara mereka.

2. "Lelaki-lelaki adalah pengurus-pengurus urusan perempuan, dengan sebab Allah melebihkan sebahagian mereka di atas sebahagian yang lain, dan kerana mereka menafkahkan (membelanjakan) daripada harta mereka" (4:34). Kaum lelaki dipertanggungjawabkan sebagai pengurus urusan perempuan kerana kaum lelakilah yang membelanjakan. Kaum lelaki menyara hidup kaum perempuan, dan bukan sebaliknya. Pada sebuah ayat yang lain pula, Allah menyatakan, "Adalah atas bapa untuk memberi rezeki dan pakaian mereka dengan baik" (2:233). Ayat ini bersangkut hal perceraian; sehingga dalam keadaan begini pun bapa dipertanggungjawabkan menyara anak-anaknya.

3. "Atau jika kedua-duanya bukan lelaki (saksi-saksi dalam perjanjian perdagangan yang tidak bertulis), maka seorang lelaki dan dua orang perempuan, saksi-saksi yang kamu berpuas hati, bahawa jika salah seorang daripada keduanya sesat, yang lagi seorang akan mengingatkannya" (2:282). Walaupun dua tetapi hanya seorang yang memberi kesaksian. Yang seorang lagi mengingatkannya jika dia sesat, seperti berkahwin dengan saksi lelaki, atau kerana hormon yang mudah mempengaruhi emosi. Kesaksian terdedah kepada tekanan pihak lelaki, dan dengan Allah menetapakan dua perempuan, Dia memberi perlindunagn kepada mereka daripada manipulasi kaum lelaki. Inilah satu-satunya kesaksian yang memerlukan dua perempuan (perjanjian perdagangan tanpa tulis). Dalam yang lain tidak, seperti "Dan orang-orang yang membalingkan kepada isteri-isteri mereka tanpa saksi-saksi, kecuali diri-diri mereka sendiri, maka kesaksian seorang daripada mereka ialah menyaksikan dengan Allah empat kali, bahawa dia termasuk orang-orang yang benar." (24:6)

4. "Allah mewasiatkan kamu mengenai anak-anak kamu; bagi lelaki serupa dengan bahagian dua perempuan ..." (4:11). Ini adalah bunyi permulaan ayat yang menetapkan bahagian-bahagian yang diterima oleh kaum lelaki dan perempuan dalam pembahagian harta pesaka. Akan tetapi, ia tidak semestinya dibahagi begitu.

Demikian beberapa ketidaksamaan antara lelaki dan perempuan yang tersurat di dalam al-Qur’an.
Dipetik daripada laman web e-bacaan.com

Jumaat, September 26, 2008

Duit Raya Sekupang, Inflasi Naik 8.5%.

Abdul Aziz Mustafa
Wed Sep 24, 08 9:10:09 pm MYT
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Hrkh)

Walaupun kerajaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan penurunan sebanyak 10 sen lagi harga minyak berkuatkuasa esok tetapi kesan dari tindakannya menaikkan harga petrol sebanyak 78 sen dan diesel sebanyak RM1 pada 4 Jun lalu mengakibatkan cengkaman inflasi semakin ganas memangsakan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah.

Dianggap sebagai "hadiah" kerajaan Abdullah kepada rakyat oleh Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar, Malaysiakini melaporkan angka rasmi yang dikeluarkan hari ini, kadar inflasi telah melonjak ke paras 8.5 peratus pada bulan Ogos, yang tertinggi dalam tempoh 27 tahun - ekoran peningkatan harga makanan dan bahan api.

"Tidak ada jaminan inflasi akan berkurangan walaupun harga minyak diturunkan 10 sen lagi kerana harga barangan tetap tinggi.

"Sebagai contoh mudah, adakah esok harga minyak turun 10 sen, lusa adakah harga makanan di pasar-pasar Ramadhan akan turun?

"Apa pun, terima kasihlah kerajaan Pak Lah bagi duit raya sekupang kepada rakyat," kata Mahfuz dengan sinis.

Ahli ekonomi dari Kenanga Investment Bank, Wan Suhaimi Saidi, menyifatkan kadar inflasi 8.5 peratus itu lebih tinggi daripada yang dijangkakan, tetapi Bank Negara tidak akan menaikkan kadar faedah untuk memastikan pertumbuhan.

"Ianya tinggi sedikit daripada jangkaan saya. Saya jangka 8.4 peratus. Saya tidak fikir kerajaan akan menaikkan kadar faedah penting. Ia akan dikekalkan pada kadar 3.50 peratus sehingga akhir tahun untuk menyokong pertumbuhan," katanya kepada AFP.

Jabatan Perangkaan telah menyemak semula dengan menurunkan angka inflasi bagi bulan Julai kepada 8.3 peratus. Ia sebelum ini meletakkan kadarnya pada 8.5 peratus.

Menurutnya, kos makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 11.7 peratus dalam bulan Ogos, berbanding dengan setahun yang lalu. Kadar inflasi yang tinggi sudahpun menjejaskan pengguna dan mendorong ramai rakyat Malaysia mengurangkan perbelanjaan mereka bagi makanan.

"Peningkatan (kadar inflasi bagi bulan Ogos) ditunjukkan dalam kumpulan-kumpulan terpilih utama, iaitu makanan dan minuman bukan alkohol," katanya dalam satu kenyataan.

Data bulan Ogos menunjukkan peningkatan harga bagi kebanyakan kategori, termasuk pengangkutan yang melonjak 21.8 peratus, dan restoran dan hotel yang meningkat 6.5 peratus.

Kerajaan telah menaikkan harga minyak sebanyak 41 peratus dalam bulan Jun, sebagai langkah untuk mengurangkan peningkatan kos subsidi, tetapi telah membayangkan bahawa kadar harga boleh diturunkan tidak lama lagi.

Inflasi Kekal Tinggi

Selepas mengumumkan Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi bulan Ogos, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, beliau tidak menjangka CPI bagi bulan September akan lebih rendah.

"Walaupun, kesan sepenuhnya pengurangan harga petrol dalam bulan Ogos dan sekarang belum diambilkira sepenuhnya, CPI bagi bulan September mungkin tidak lebih rendah.

"Harga petrol yang rendah dijangka dijangka akan diimbangi oleh peningkatan perbelanjaan semasa cuti hari raya dan 30 surcaj bagi pengangkutan awam," kata Shahrir.

Bagaimanapun, beliau tidak menjangka CPI telahpun sampai ke paras puncaknya.

Shahrir berkata, kadar inflasi nampak telah stabil ekoran peningkatan bulan ke bulan hanya 0.2 peratus.

Rabu, September 24, 2008

Yang Di Pertuan Agong Atau Parlimen


Profesor Dr Abdul Aziz Bari Tue Sep 23, 08 9:14:01 am MYT

Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi telah menolak cadangan Dato Seri Anwar agar diadakan satu persidangan khas parlimen untuk membahaskan perkembangan mutakhir politik negara. Ini menunjukkan betapa sukarnya untuk memanggil sidang khas parlimen bagi membincangkan usul undi tidak percaya walaupun cara ini adalah demokratik dan berperlembagaan.

Budaya politik dan perundangan negara kita menyebabkan ia sukar berlaku. Sistem politik negara kita adalah berteraskan sistem Westminster yang mana fungsi ketua negara terpisah daripada fungsi ketua kerajaan. Walaupun Yang di-Pertuan Agong lebih banyak memainkan peranan simbolik, Baginda sebenarnya berkuasa untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam situasi yang perlu.

Yang Di Pertuan Agong Dan Politik

Para penasihat Anwar mungkin agak gusar jika beliau terus pergi mengadap Yang Di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan untuk membentuk kerajaan baru. Mereka mungkin tidak mahu Yang di-Pertuan Agong terlibat secara langsung dalam politik. Para penasihat ini seolah-olah bimbang dan terlupa peranan penting Yang di-Pertuan Agong dalam menjaga negara. Satu perkara biasa dalam sistem Westminster yang kita amalkan. Dan ini tidak terhad kepada negara-negara yang mempunyai Raja (sistem monarki) sahaja.

Negara republik seperti India turut membolehkan ketua negaranya memainkan peranan dalam situasi luar biasa, walaupun biasanya ketua negara tersebut hanya memainkan peranan simbolik sahaja. Peranan sebegini sebenarnya pernah diutarakan oleh Laporan Suruhanjaya Reid. Tetapi, oleh kerana ini merupakan kali pertama kita menghadapi situasi sebegini, kebimbangan mereka boleh difahami.

Bagaimanapun Anwar tidak menolak kemungkinan untuk pergi terus ke Istana. Oleh kerana Abdullah telah menolak cadangan agar diadakan sidang khas parlimen, Anwar kini mempunyai sebab untuk memohon mengadap Yang di-Pertuan Agong. Sistem perundangan kita tidak menyebut dengan jelas sama ada pertukaran kerajaan hanya boleh dibuat melalui parlimen. Artikel 43(4) dalam Perlembagaan memungkinkan pertukaran dibuat dengan cara majoriti ahli parlimen memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa mereka telah menarik balik sokongan terhadap kerajaan sedia ada. Ini akan mewajibkan Perdana Menteri meletak jawatan. Yang di-Pertuan Agong kemudiannya boleh melantik seorang ahli parlimen yang mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri baru.

Hujah Salah

Pertukaran kerajaan melalui undi tidak percaya merupakan perkara yang pernah berlaku di negara-negara Komanwel lain. Tetapi ia amat sukar dilakukan di Malaysia kerana Umno menyekat sebarang usaha membentangkan usul undi tidak percaya. Speaker Parlimen Pandikar Amin Mulia mengatakan bahawa Perdana Menteri mempunyai kuasa penuh untuk memutuskan sama ada mahu memanggil sidang khas parlimen atau tidak. Rasanya Perlembagaan kita tidak bermaksud untuk memberi kuasa kepada Perdana Menteri membuat kata putus dalam hal ini.
Perdana Menteri merupakan ketua Eksekutif dan jika beliau mempunyai kuasa mutlak, maka ini seolah-olah meletakkan Legislatif di bawah Eksekutif. Pasti ini bertentangan dengan konsep pemisahan kuasa yang dituntut oleh sistem politik negara kita.

Selain itu, sukar dibayangkan sesebuah kerajaan akan bersetuju untuk memanggil sidang khas parlimen jika terdapat hal-hal yang mengancam penerusan hayat kerajaan tersebut. Hujah bahawa Perdana Menteri sahaja berkuasa memanggil parlimen adalah lemah. Speaker Pandikar Amin Mulia ada juga memetik peraturan parlimen (Standing Orders) dalam membuat keputusan beliau. Tetapi peraturan parlimen dibentuk berasaskan peruntukan Perlembagaan Artikel 62(1). Peraturan ini statusnya lebih rendah daripada Perlembagaan. Apabila Speaker menggunakan hujah peraturan parlimen, beliau seolah-oleh mengatakan bahawa peraturan tersebut lebih tinggi daripada Perlembagaan. Ini tidak betul.

Yang di-Pertuan Agong berhak untuk memanggil persidangan parlimen tergempar. Tidak mungkin apabila Baginda mempunyai kuasa memprorog dan membubarkan parlimen seperti termaktub dalam Artikel 55 Perlembagaan, Baginda tidak pula berhak memanggil parlimen bersidang. Artikel 40(2) pula merupakan satu artikel umum dan situasi sekarang lebih kelihatan sebagai satu pengecualian. Yang di-Pertuan Agong memang mempunyai peranan dalam situasi sekarang. Ini bukan luar biasa kerana sistem yang kita amalkan kadang kala memang memerlukan tindakan-tindakan tertentu untuk membolehkan ia berfungsi dengan baik. Yang di-Pertuan Agong perlu memainkan peranan untuk memastikan Perlembagaan boleh terus terlaksana. Yang pastinya, ini bukanlah penamat bagi Abdullah. Sekiranya Anwar berjaya membentuk kerajaan, Abdullah juga boleh mencabar Anwar dengan cara yang sama. Inilah sebabnya kenapa Abdullah perlu membenarkan sistem Westminster yang kita amalkan berfungsi seperti sewajarnya.

Anwar telah berjanji akan menghormati Perlembagaan. Maka mungkin langkah pertama yang perlu beliau usulkan ialah membolehkan Speaker dilantik melalui pengundian bebas. Parlimen kita akan menghampiri status parlimen kelas pertama jika Speaker yang dipilih ialah dari kalangan parti pembangkang.

Kuasa Agong Atau Kuasa Parlimen?

Kembali kepada dua cara penukaran kerajaan tadi, iaitu sama ada melalui undi tidak percaya di parlimen atau melalui kuasa Yang di-Pertuan Agong, saya rasa kedua-duanya dibenarkan oleh kerangka Artikel 43(4) Perlembagaan kita.

Cara pertama iaitu pengundian di parlimen memanglah cara yang paling ideal dan lebih demokratik. Cara ini telah berlaku jika kita teliti kes Datuk Stephen Kalong Ningkan, bekas Ketua Menteri Sarawak, pada tahun 1966. Tetapi ini hanya boleh berlaku dalam satu sistem politik yang terbuka dan demokratik. Bolehkah ia berlaku dalam situasi Malaysia sekarang? Kita boleh melihat dengan jelas betapa kerajaan Barisan Nasional berusaha sedaya upaya menghalang usul undi tidak percaya dibahaskan di Parlimen termasuklah dengan mengancam penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Cara kedua, iaitu melalui tindakan Yang di-Pertuan Agong, terhasil daripada pembacaan literal Artikel 43(4) bersama dengan Artikel 40(2)(a). Cara ini yang lebih cepat daripada cara pertama tadi. Dan, oleh kerana terdapat unsur-unsur tidak demokratik dalam menghalang tercapainya cara pertama, maka mungkin cara kedua ini lebih praktikal. Ia juga boleh menghalang kerajaan daripada terus menerus menyekat perubahan. Tetapi cara ini amat bergantung kepada kemahuan Yang di-Pertuan Agong untuk memainkan peranan yang lebih proaktif.

Mungkin wajar disebut di sini bahawa terdapat negara-negara demokrasi yang stabil di Eropah yang turut mengamalkan sistem monarki seperti kita. Di luar Eropah pula, telah terdapat Raja yang secara aktif membantu lahirnya demokrasi di negara mereka. Inilah yang berlaku di Sepanyol, Thailand dan juga sedikit sebanyak di Jordan. Adakah Raja-Raja kita juga mahu turut sama seperti Raja-Raja di negara-negara itu?

(Profesor Abdul Aziz Bari ialah Profesor Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa. Artikel ini diterjemahkan daripada artikel asal beliau berbahasa Inggeris oleh WauBebas.org) _

Khamis, September 18, 2008

Tahniah Dato' Zaid!!!

Tersentuh hati mummy atas tekad & ketegasan Dato' Zaid Ibrahim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang meletakkan jawatannya demi menegakkan prinsip undang-undang yang sebenar dalam membantah tindakan kerajaan BN menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mengikut kepentingan naluri mereka sendiri. Macam ni baru the true lawyer!

Pastinya apa yang berlaku memberi cubitan & tamparan kepada kerajaan BN tapi seperti biasa BN akan buat2 kebal, percaya pada tahyul tangkal tok bomoh yang dipakai. Nampaknya senjata dah makan tuan. Tindakan menyumbat YB Teresa Kok yang dimomok2kan menghina Islam & Melayu bukan menambah benci rakyat kepada PR tetapi menjadi bonus talian hayat pula kepada PR dan BN semakin termengah2 mencari ubat baru. Inilah jadinya bila tukang kayu nak jadi tukang masak. Habis tunggang-langgang dapur dibuatnya.

Walau bagaimanapun, cadangan untuk memansuhkan ISA perlu diteliti sebaik2nya kerana mummy pun setuju dengan Dato' Zaid, ISA masih relevan digunakan terhadap pengganas ataupun ke atas mereka yang cuba menggulingkan kerajaan menerusi kekerasan. Mummy belum sempat khatam lagi akta yang satu ni so tak berani nak ulas lebih2.

Rabu, September 17, 2008

Demi Kerana Cinta...

Seketika tadi hati berbunga-bunga
Biar ada secarik pedih yang bertapak
Ku singkir penuh rela
Demi cinta

Tapi kini luka bertimpa-timpa
Jiwa dikelar tanpa rasa berdosa
Lalu seperti selalu
Aku meratap sendiri di sudut sepi
Kerana cinta

Tak mampu ku lontar rasa ini
Bimbang luka semakin parah
Gusar sakit yang tiada penyudah
Hanya pada Mu aku menyerah
Hilangkan saja deria pedih ini
Biar luka belum tentu sembuhnya
Demi kerana cinta...

Selasa, September 16, 2008

Apa Dah Jadi 16hb September...


Biar apa pun spekulasinya, tuduhan atau cemuhan, hari ini memang mummy nanti2kan dengan harapan ada satu pembaharuan seperti yang dicanang2kan. Tapi... hari ni sama macam semalam, macam minggu lepas, bulan lepas, tahun lepas, 51 tahun lepas... UMNO/BN masih di situ.


Yang berbeza, kehidupan mummy dulu rasa2nya tidaklah sesempit seperti sekarang ini.